Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kedutaan Besar Malaysia mengesahkan bahawa 15 daripada 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar adalah warganegara Malaysia. Foto hiasan Envato

Kedutaan Malaysia usaha bawa pulang 15 mangsa penipuan pekerjaan dari Thailand

ByBernama

TAK (Thailand), 17 Feb: Kedutaan Besar Malaysia mengesahkan bahawa 15 daripada 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar adalah warganegara Malaysia.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui berkata seorang pegawai konsular dari kedutaan telah mengadakan lawatan konsular ke Wilayah Tak, utara Thailand.

Bong menyatakan bahawa kesemua rakyat Malaysia termasuk tiga wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun berada dalam keadaan sihat, walaupun ada yang masih trauma dan kelihatan keletihan.

“Pegawai konsular kami melaporkan bahawa semua mangsa dijaga dengan baik oleh pihak berkuasa Thailand. Mereka ditempatkan di asrama lelaki dan wanita yang berasingan dalam kem tentera.

“Kami juga telah mengesahkan identiti mereka dan menghubungi waris bagi menguruskan penghantaran pulang mereka ke Malaysia. Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dengan bekalan makanan dan tempat tinggal mencukupi disediakan,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Bagaimanapun, Bong berkata dalam pertemuan dengan Kingkan Choopitakpaopong dari Bahagian Antipemerdagangan Orang di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia serta Jiraporn Kamputh, Ketua Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Wilayah Tak pada Ahad, kedutaan dimaklumkan bahawa mangsa hanya dibenarkan tinggal di kem tentera itu sehingga 18 Feb.

“Kami dimaklumkan bahawa mangsa yang kini ditempatkan di kem tentera perlu memberi laluan kepada kumpulan baharu mangsa yang diselamatkan dari Myanmar minggu ini,” katanya.

Bong menambah bahawa kedutaan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk memproses dokumentasi yang diperlukan bagi memudahkan proses membawa pulang mangsa, yang dijangka singgah di lapangan terbang Bangkok sebelum pulang ke Malaysia.

“Pada masa ini, kami mengenal pasti empat mangsa tanpa pasport, seorang mempunyai pasport yang telah tamat tempoh, dan beberapa individu dengan visa yang telah tamat tempoh. Kami sedang membantu mereka menguruskan dokumen perjalanan bagi memastikan mereka dapat pulang dengan selamat,” katanya.

Rabu lepas, Bernama melaporkan mangsa telah diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar di bandar sempadan KK Park dan Shwe Kokko sebelum dipindahkan ke Thailand untuk proses penghantaran pulang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan