SIBU, 17 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu sebuah jawatankuasa bertindak ditubuhkan untuk meneliti pembinaan sebuah jambatan baharu yang menghubungkan ‘Sibu West Bank’ dengan Pusat Bandaraya Sibu.
Beliau meminta dua pemimpin tempatan iaitu Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang mengetuai jawatankuasa tersebut.

“Tadi saya tanya Kaunselor Kelvin Lau (Pengerusi Cawangan Bawang Assan) berapa panjang jambatan itu. Katanya 400 meter merentasi Sungai Igan. Sarawak sudah membina jambatan sepanjang tujuh kilometer untuk Batang Lupar jadi 400 meter bukan satu masalah.
“Jadi saya minta Datuk Annuar dan Datuk Michael untuk mengetuai jawatankuasa ini supaya dengan adanya jambatan ini, kita dapat membangunkan kawasan di sebelah sana (Sibu West Bank),” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini hari ini.
Abang Johari turut mahu satu pelan terperinci dirangka termasuk meneroka aktiviti ekonomi yang boleh dibangunkan di kawasan itu seperti tanaman getah atau padi.
“Saya rasa di sebelah sana berpotensi untuk penanaman getah dan sebahagian mungkin boleh untuk penanaman padi. Ini akan kita teliti. Jambatan ini dapat melonjak aktiviti pertanian demi keterjaminan makanan.
“Kalau kita ada ini (jambatan) kita dapat buka aktiviti ekonomi seperti tanaman padi sebab menjelang tahun 2030 kita menyasarkan pengeluaran padi sebanyak 240,000 metrik tan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan agar jambatan yang baharu tersebut akan dibina dengan reka bentuk yang menarik.
“Jangan alang-alang. Bina yang cantik. Jangan kalah dengan Jambatan Kemena di Bintulu. Maklumlah, di Bintulu, Jambatan Kemena macam yang terdapat di San Francisco,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam ucapannya, Pengerusi Pusat Belia dan Pengerusi Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kelvin Lau Kor Jie memohon agar dibina sebuah jambatan yang berupaya melonjakkan pembangunan khususnya di kawasan Bawang Assan.
Sementara itu, mengenai sambutan Tahun Baharu Cina itu, Lau berkata tahun ini adalah Tahun Ular dan mengikut tradisi ular itu melambangkan transformasi dan pembaharuan.
“Kalau dilihat dari konteks Sarawak, kini melalui transformasi untuk menjadi lebih kuat dan bangkit dengan daya saing yang lebih tinggi seperti ular yang menggantikan kulitnya dan ini adalah hasil pimpinan tidak lain tidak bukan Premier
Sarawak kita.
“Premier gigih berjuang demi hak Sarawak dan berusaha untuk meningkatkan sektor ekonomi khususnya dalam sektor tenaga hijau dan digital.
“Di samping itu, banyak dasar-dasar telah pun dilaksanakan dalam bidang pendidikan untuk memperkasakan anak Sarawak supaya mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk menceburi bidang tersebut,” tegasnya. – TVS