KUCHING, 16 Feb: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus menekankan kepentingan transisi kepimpinan yang teratur bagi memastikan parti kekal relevan dan berdaya saing dalam arena politik.
Naib Yang Dipertua PBB, Datuk Len Talif Salleh berkata peralihan kepimpinan adalah langkah penting untuk kesinambungan parti.
“Pemilihan kepimpinan baharu ini adalah sebahagian daripada proses peralihan yang telah ditekankan oleh pucuk pimpinan, ini adalah konvensyen dalam tempoh transisi, di mana kepimpinan lama yang telah menjangkau usia lebih 70 tahun memberi ruang kepada pemimpin muda,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa bagi memastikan PBB kekal relevan, parti perlu mengamalkan peralihan kuasa yang teratur dan sistematik.
“Untuk menjadi relevan, kita perlukan transisi kuasa yang teratur, dengan cara yang betul dan dalam hal ini, PBB telah lama mengamalkan prinsip ini, termasuk ketika saya sendiri mula melibatkan diri dalam politik 15 tahun lalu,” tambahnya.
Len Talif juga mengingatkan bahawa banyak parti politik di peringkat global yang gagal mengekalkan kuasa kerana tidak melakukan perubahan kepimpinan secara berstruktur.
“Oleh sebab itulah, ini menjadi satu pengajaran buat kita, tidak mahu PBB terjerumus dalam situasi yang sama.
“Hari ini merupakan satu langkah penting dalam sejarah parti, di mana pemilihan kepimpinan berlangsung dengan lancar dan tersusun,” katanya.
Beliau turut memuji proses pemilihan kepimpinan baru dalam PBB yang diselesaikan dalam tempoh kurang daripada dua jam dengan suasana yang teratur dan harmoni.
“Kejayaan ini menjadi contoh terbaik kepada semua peringkat kepimpinan, dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi.
“Budaya dan tradisi ini perlu terus dipertahankan bagi memastikan kestabilan serta kekuatan parti,” jelasnya. -TVS