KUCHING, 16 Feb: Kerajaan Sarawak memberi jaminan wilayah ini tidak akan bankrap dengan adanya Dana Kekayaan Berdaulat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana tersebut akan ditambah sekitar RM500 hingga RM700 juta setahun.
“Insya-Allah tahun 2030 dan seterusnya, kita (Sarawak) akan selamat dan rakyat kita akan ada tempat yang kukuh walaupun saya tidak lagi menjadi pemimpin. Kita berjuang untuk masa depan.
“Sebab itu kita ada Dana Kekayaan Berdaulat, untuk anak-anak kita pada masa hadapan. Dana sekarang sudah ada RM8 bilion dan ia tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh 20 tahun tetapi setiap tahun kita akan tambah dalam RM500 hingga RM700 juta setiap tahun.
“Apa sahaja terjadi, Sarawak akan terus berkembang dan tidak akan bankrap. Malah rizab kita bertambah disebabkan perpaduan dalam parti kita dan kerjasama berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Sebelum ini Abang Johari berkata, dana kekayaan itu berpandukan Prinsip Santiago dan Sarawak akan menjadi ahli kepada ‘London Sovereign Fund Forum’ iaitu sebuah institusi antarabangsa yang memantau dana berdaulat.
Pengurusan dana oleh ahli lembaga yang berpengalaman katanya akan membolehkan Sarawak mempunyai lebihan pendapatan yang dapat dilabur dan disimpan dalam institusi kewangan kukuh. – TVS