KUCHING, 16 Feb: Naib Yang Dipertua Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru ahli-ahli parti agar menyahut pesanan Yang Dipertua PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar bersama-sama menjaga dan memelihara perpaduan dalam parti.
“Ingat pesanan Yang Dipertua parti kita, jangan sama sekali kita membiarkan perbezaan pendapat menjejaskan perjuangan utama parti. Jaga Sarawak Baik-Baik. Jaga Sarawak Intu Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dalam hantaran berasingan, Fadillah berkata beliau turut membentangkan usul politik pada hari terakhir perhimpunan hari ini yang kemudiannya disokong rakan sejawatnya, Naib Yang Dipertua Kanan, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
“Dalam usul berkenaan Perhimpunan Agung Ke-16 PBB antara lain, mengambil pendirian untuk kekal menyokong, memberi kepercayaan dan mandat sepenuhnya kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus memimpin dan mengetuai barisan kepimpinan Sarawak dalam segala usaha dan rundingan untuk mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak seperti yang tersurat dalam Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC dan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.