KUCHING, 16 Feb: Royal Brunei Airlines (RB) akan menyambung semula penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing (PXX) bermula 28 April 2025 selepas penggantungan sementara pada Oktober 2024.
Sebagai sebahagian daripada Jadual Musim Panas Utara RB 2025, laluan Beijing Daxing akan beroperasi dua kali seminggu menggunakan pesawat Airbus A320neo yang moden dan jimat bahan api, memberikan pengalaman penerbangan yang lebih selesa serta mesra alam kepada para penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin Abdul Hamid berkata, penyambungan semula laluan tersebut diyakini akan menghidupkan kembali hubungan penting antara Brunei dan Republik Rakyat China.
“Penggantungan sementara laluan ini pada Oktober 2024 merupakan keputusan yang mencabar tetapi perlu akibat keadaan pasaran. Namun, selepas penilaian menyeluruh, kami yakin masa yang sesuai telah tiba untuk menyambung kembali perjalanan antara ibu negara kami dan menyediakan pilihan perjalanan yang lancar untuk para tetamu kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menambah bahawa penyambungan semula penerbangan ini sejajar dengan lawatan rasmi Sultan dan Yang Di-Pertua Negara Brunei Darussalam, Sultan Hasanal Bolkiah ke China pada Februari 2025.
Dalam lawatan itu, Baginda mengumumkan pengecualian visa bagi pelancong China yang berkunjung ke Brunei.
Menurutnya, pelaksanaan dasar kemasukan bebas visa China untuk warganegara Brunei mulai 30 November 2024 membolehkan rakyat tempatan melakukan perjalanan ke China untuk tujuan perniagaan, pelancongan, lawatan keluarga, transit dan pertukaran selama 30 hari tanpa visa.
“Kami menjangkakan ini akan meningkatkan permintaan perjalanan antara kedua-dua negara dengan ketara, menjadikan Beijing Daxing sebagai pintu masuk utama untuk penumpang kami. Dengan dasar visa timbal balik ini, Syarikat Royal Airlines Brunei dengan bangganya menyediakan pengalaman perjalanan secara langsung, mudah dan bertaraf dunia yang menghubungkan kedua-dua negara,” ujarnya.
Beliau berkata, RB pertama kali melancarkan perkhidmatan ke Beijing Daxing pada Oktober 2019 yang menandakan satu pencapaian penting dalam pengembangannya ke China.
Katanya, keputusan untuk menyambung semula penerbangan tersebut pada April 2025 juga sejajar dengan objektif pelancongan dan perdagangan Brunei di bawah Wawasan 2035 seterusnya menyokong peningkatan permintaan bagi perjalanan perniagaan, pendidikan dan perjalanan santai antara kedua-dua negara.
Penerbangan Royal Brunei Airlines akan meningkatkan kesalinghubungan bagi pelancong korporat, pelajar dan pelancong sekali gus mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Brunei dan China.
Untuk memastikan kejayaan laluan tersebut katanya, RB akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama di Brunei dan China, termasuk lembaga pelancongan, agensi kerajaan dan rakan kongsi pelancongan.
Penumpang yang terbang dari Beijing dengan Royal Brunei Airlines boleh menikmati sambungan penerbangan yang lancar melalui Brunei ke pelbagai destinasi menarik seperti Bangkok, Balikpapan, Kuching, Kuala Lumpur, Ho Chi Minh City, Singapura, Jeddah dan Jakarta.
Program kesetiaan RB, Royal Skies turut menawarkan keistimewaan eksklusif kepada pelanggan setia termasuk ganjaran mata dan perkhidmatan keutamaan.
Selain itu, penumpang boleh merasai layanan mesra Brunei yang memenangi anugerah (RB) dengan sajian halal masakan Cina, pilihan hiburan dalam penerbangan yang diperluaskan serta RB Sky Shop yang menawarkan pengalaman membeli-belah bebas cukai dalam penerbangan.
Tiket penerbangan ke Beijing kini boleh ditempah melalui laman web rasmi RB di www.flyrb.com, aplikasi mudah alih RB, dan semua ejen pelancongan yang sah.- TVS