KUCHING, 16 Feb: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak akan terus menambah baik sistem penyelenggaraan infrastruktur melibatkan jalan raya dan jambatan di wilayah ini.
Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, misalnya di kawasan Baram projek perintis dilaksanakan iaitu dengan melantik kontraktor tempatan untuk menyelenggara beberapa jalan raya yang mengalami kerosakan.
“Kita (MIPD) telah membuat kajian dan mendapati kaedah yang dilaksanakan pada masa ini perlu ditambah baik.
“Cara yang lebih baik dan sistematik perlu dijalankan supaya proses penyelenggaraan lebih tepat dan bersesuaian,” katanya katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sesi pembentangan dan perbahasan usul bersempena Perhimpunan Agung PBB ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak menjelaskan, MIPD turut memberi fokus kepada penyelenggaraan 24 jambatan yang telah disenaraikan untuk dibaik pulih dengan kadar yang segera.
“Proses ini mesti berjalan lancar supaya apabila musim MTL datang, masalah yang berlaku dapat dikurangkan,” jelasnya. – TVS