KUCHING, 16 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai PETRONAS dan anak syarikatnya tidak perlu mendapatkan lesen tambahan atau mematuhi prosedur lain untuk beroperasi di Sarawak sebagai mengelirukan.
Beliau berkata, isu tersebut akan terus dirunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kedudukan Sarawak melalui PETROS dihormati.
“Kenyataan Azalina mungkin kurang tepat. Saya akan terus berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui selepas sesi penggulungan Perhimpunan Agung PBB ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Menerusi jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Azalina menyatakan Sarawak telah menerima PDA 1974 sebagai undang-undang utama yang mengawal industri petroleum negara.
Selain itu, PETRONAS juga mengiktiraf PETROS sebagai agregator gas di Sarawak kecuali bagi gas asli cecair (LNG).
Azalina turut menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan, PETRONAS, Kerajaan Sarawak dan PETROS sedang memperhalusi beberapa aspek perjanjian termasuk implikasi undang-undang. – TVS