KUCHING, 16 Feb: Bekas Naib Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menghormati keputusan perwakilan selepas beliau gagal mempertahankan jawatan.
Menurut Abdul Karim, ia adalah proses demokrasi dan perlu dihormati sepenuhnya.
“Sebelum pertandingan, ada yang memberitahu bahawa ini adalah pertandingan keluarga yang mesra. Perwakilan sudah membuat keputusan mereka dan saya menghormati keputusan mereka, pasti ada sebab di sebaliknya.
“Ia tidak bermakna apabila saya kalah, saya akan kecewa. Saya tetap seperti biasa. Saya sangat gembira bahawa segala-galanya berjalan dengan baik.
“Kita perlu menghormati proses demokrasi serta apa yang telah diundi oleh perwakilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Ditanya mengenai jawatan sedia ada dalam kabinet, Abdul Karim menjelaskan ia terpulang kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Saya melihat kabinet sebagai prerogatif Premier Sarawak. Sudah tentu, mungkin pelantikannya dalam kabinet daripada jawatan dalam parti, mungkin. Tetapi itu adalah prerogatifnya.
“Sama ada ia memberi kesan atau tidak, saya perlu berbincang dengan beliau kerana perwakilan sudah membuat keputusan.
“Mungkin saya perlu duduk dengan beliau dan berbincang jika ada keperluan untuk beliau melihat kemungkinan lain rombakan kabinet dan sebagainya kerana tiada siapa lebih besar dalam parti,” ujarnya.
Terdahulu, Abdul Karim hanya memperoleh 669 undi selepas Datuk Ibrahim Baki, Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Len Talif Salleh berjaya memenangi pemilihan jawatan itu sempena Perhimpunan Agung PBB ke-16. -TVS