KUCHING, 16 Feb: Gandingan keempat-empat Naib Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi Sayap Bumiputera yang baharu dan lama memantapkan lagi kepimpinan PBB yang diterajui Yang di-Pertua PBB Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Naib Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ibrahim Baki berkata, setiap daripada mereka yang terplilih itu mempunyai pengalaman dan keistimewaan masing-masing yang akan menyumbang kepada kerelevanan parti.
“Semua kami mempunyai niat yang sama iaitu membantu memperkuat parti kerana PBB merupakan parti akar umbi.
“Kewujudan PBB ialah membantu menggalas tanggungjawab melaksanakan kemahuan serta keinginan rakyat dan PBB mempunyai kemampuan untuk merealisasikan perkara tersebut,” katanya ketika ditemui media semasa hari ketiga Perhimpunan Agung ke-16 Parti PBB Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, dengan adanya gabungan dan sokongan padu ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang mempunyai pelbagai latar belakang serta ahli PBB di setiap cawangan akan menjadi lebih komprehensif.
“Kepimpinan PBB juga perlu bergerak seiring dengan perubahan semasa dan sebab itu orang seperti saya diperlukan di dalam parti sebab kita perlu ikut perubahan,” ujarnya.
Selain Ibrahim, Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Len Talif Salleh berjaya memenangi pemilihan jawatan itu sempena Perhimpunan Agung PBB ke-16 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.
Mendahului senarai keputusan rasmi, Ibrahim memperoleh undian tertinggi dengan 910 undi diikuti Julaihi (902 undi), Dr Annuar (786 undi) dan Len Talif (687 undi). – TVS