KUCHING, 16 Feb: Dato Dr Richard Rapu bertekad untuk membela nasib rakyat di kawasan luar bandar selepas berjaya menjadi salah seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Dr Richard yang juga Ahli Parlimen Betong bersedia untuk menempuh cabaran dan berganding bahu dengan ahli MKT PBB Sarawak yang lain bagi memastikan parti keramat itu terus menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Sarawak untuk memajukan wilayah ini.
“Terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya.
“Kita sama-sama berdoa semoga perjuangan parti kita dapat diteruskan demi kebaikan semua,” katanya melalui kenyataan di laman Facebook selepas berjaya dipilih Ahli MKT parti PBB hari ini.
Selain itu, beliau yang juga Ketua Cawangan Parti PBB Cawangan Engkilili menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua perwakilan PBB yang yang turut serta menjayakan proses pemilihan dan pengundian.
Untuk rekod, beliau memenangi kerusi Betong pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tahun 2022 yang lalu.
Sebelum itu, jawatan itu disandang oleh Datuk Robert Lawson Chuat. – TVS