KUCHING, 16 Feb: Dengan visi mengangkat suara masyarakat pedalaman ke peringkat tertinggi ternyata membawa tuah kepada Dato Dennis Ngau selepas berjaya menempatkan diri dalam senarai 14 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Dennis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan mempertahankan jawatan tersebut untuk penggal ketiga.
Menurutnya, beliau bersyukur dengan keputusan kerana tidak berkempen secara agresif dan menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih.
“Terima kasih kerana memberi saya sekali lagi peluang untuk penggal seterusnya.
“Saya memilih untuk menyerahkan keputusan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih,” katanya.
Menurutnya, keputusan pemilihan kali ini juga menyaksikan kematangan perwakilan dalam memilih pemimpin yang dipercayai untuk memimpin PBB.
Sementara itu, seramai 19 calon bertanding bagi merebut 14 jawatan MKT PBB (Pesaka).
Untuk rekod, Dennis memulakan karier politik pada 2011 bagi menggantikan mendiang Datuk Lihan Jok.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 tahun 2021, beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti yang lebih besar -TVS