Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mahmoud Abbas, Presiden Palestin, semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 26 September 2024 di New York City. Foto fail AFP

Presiden Mahmoud Abbas tolak seruan pemindahan penduduk Palestin dari tanah air

ByBernama

ISTANBUL, 15 Feb: Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Sabtu menegaskan penolakannya terhadap sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka.

“Sesiapa yang berfikir boleh memaksakan ‘Tawaran Abad Ini’ yang baharu atau memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka adalah tertipu,” katanya pada Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika (AU) ke-38 di Addis Ababa, Ethiopia, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Abbas menegaskan bahawa “seruan untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka dan memaksa mereka berpindah hanyalah taktik mengalihkan perhatian daripada jenayah perang, genosid dan kemusnahan di Gaza, serta jenayah peluasan penempatan dan cubaan merampas Tebing Barat.”

“Satu-satunya tempat bagi 1.5 juta pelarian yang tinggal di Gaza untuk kembali adalah ke bandar dan kampung mereka yang asal, dari mana mereka diusir pada 1948, selaras dengan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa “amalan kolonial Israel memerlukan tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu) bagi menghalang kebangkitan kuasa ekstremis yang mahu menamatkan penyelesaian dua negara.”

Abbas turut menyeru sokongan terhadap “persidangan keamanan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di PBB pada pertengahan Jun.”

Sidang kemuncak itu bertujuan menggerakkan usaha antarabangsa bagi mendapatkan pengiktirafan global terhadap negara Palestin, memperoleh keahlian penuh PBB, dan melaksanakan penyelesaian dua negara berdasarkan undang-undang antarabangsa, menurut Abbas.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, baru-baru ini mencadangkan “mengambil alih” Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke negara jiran sambil menjadikan wilayah itu sebagai “Riviera Timur Tengah.”

“Tawaran Abad Ini” yang diumumkan Trump pada 2020 sebagai cadangan menyelesaikan konflik Israel-Palestin menerima kecaman meluas dari dunia Arab dan masyarakat antarabangsa.

Perjanjian gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa pada 19 Jan, sekali gus menghentikan perang genosid Israel yang telah meragut lebih 48,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan wilayah itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan