KUCHING, 15 Feb: Resolusi permohonan menaik taraf kemudahan utiliti melibatkan bekalan air dan elektrik di kawasan kampung serta rumah panjang di 82 cawangan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di seluruh Sarawak akan diberi perhatian penuh oleh kepimpinan parti.
Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia mempunyai kemampuan untuk menambahkan keselesaan kehidupan masyarakat di luar bandar dan pedalaman.
“Ada yang minta bekalan air dan elektrik di kawasan mereka dinaik taraf.
“Untuk bekalan elektrik penduduk di luar bandar memohon pemasangan pendawaian elektrik fasa tiga kerana keperluan penggunaan kapasiti bekalan elektrik di kampung sudah bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Abang Johari yang merupakan Premier Sarawak menjelaskan, bagi menyokong usaha itu Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak 70 peratus Belanjawan Sarawak 2025 bagi menaik taraf kemudahan.
“Melalui perhimpunan agung ini kita akan mendengar rintihan dan pandangan dari semua cawangan dan mencari penyelesaian terabaik bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak terus mempergiat inisiatif untuk melengkapkan kemudahan dan infrastuktur di kawasan luar bandar.
“Sebelum ini kita hanya bergantung kepada dana Kerajaan Pusat. Ada masa kita diberi, ada masa tidak ada. Keadaan ini akan memberi cabaran dan masalah kepada kita untuk meneruskan pembangunan,” jelasnya. – TVS