Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan

Lima warga Bangladesh ditahan bantu siasatan kes bunuh rakan senegara

ByBernama

SHAH ALAM, 15 Feb: Polis menahan lima warga Bangladesh termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kes tetak dan bunuh rakan senegara mereka di Seksyen 7 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kesemua individu berusia 33 hingga 53 tahun termasuk suspek utama ditahan pada 1.49 tengah hari semalam di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan itu.

Beliau berkata penahanan kesemua suspek dilakukan susulan panggilan yang diterima daripada orang awam pada 8.26 pagi hari yang sama, memaklumkan kejadian seorang lelaki ditetak di hadapan sebuah kedai runcit.

“Pihak polis dan ambulans dari Hospital Shah Alam segera dikejarkan ke tempat kejadian. Pemeriksaan pegawai perubatan ke atas seorang lelaki yang terbaring di hadapan kedai itu mendapati mangsa telah meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala, badan serta tangan akibat serangan menggunakan objek tajam.

“Siasatan polis mendapati si mati merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 45 tahun dan bekerja sebagai penyelia di kedai runcit tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata hasil temu bual awal dengan beberapa saksi awam di tempat kejadian mendapati berlaku pertengkaran mulut antara si mati dan salah seorang pekerjanya di dalam kedai runcit itu, dipercayai berpunca daripada isu kelewatan bayaran gaji.

“Keadaan menjadi tidak terkawal apabila berlaku pergelutan antara mereka. Si mati kemudian diserang menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan ditetak berulang kali oleh pekerja tersebut sehingga terbaring di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka negatif dadah.

Menurutnya, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 bagi membantu siasatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan