Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Program ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Taoisme (MCCBCHST) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara. Foto fail TVS

Jejak Harmoni 2025: Perkukuh perpaduan melalui kefahaman agama, budaya

ByMadeline Dugat

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Program Jejak Harmoni sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (WIHW) 2025 yang membuka tirai hari ini berlangsung dengan jayanya dengan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memperkukuh perpaduan dan kefahaman masyarakat di Malaysia.

Program ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Taoisme (MCCBCHST) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program ini merupakan sebahagian daripada Inisiatif Harmoni MADANI yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 2024 untuk meningkatkan kesedaran dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama, budaya, dan adat resam di negara ini.

“Jejak Harmoni ini bukan sekadar sebuah pergerakan fizikal dari satu tempat ke tempat lain, tetapi ia adalah satu perjalanan simbolik yang menggambarkan semangat kesatuan dan kebersamaan rakyat Malaysia,” katanya dalam ucapannya semasa majlis perasmian Program Jejak Harmoni Sempena Sambutan Minggu Keharmonian antara Penganut Agama Sedunia (WIHW) 2025 di Sentul, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan bahawa program ini tidak melibatkan sebarang aktiviti keagamaan dan tidak seharusnya disensasikan atau dipolitikkan, sebaliknya harus dilihat sebagai satu usaha memperkukuh keharmonian negara.

Menurutnya, masyarakat didorong untuk melihat dari sudut yang baik dengan menekankan konsep asas, integrasi nasional iaitu faham, hormat dan terima bagi memastikan keharmonian sentiasa terpelihara.

“Dengan memahami, kita dapat menghapuskan prasangka negatif. Dengan menghormati kepercayaan orang lain, kita dapat mewujudkan hubungan yang harmoni dan dengan menerima perbezaan, kita dapat hidup bersama dalam masyarakat yang bersatu padu,” katanya.

Aaron turut menegaskan komited kerajaan dalam memastikan perpaduan rakyat terus diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif dan dasar yang menggalakkan interaksi serta kesejahteraan bersama.

Beliau juga mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dalam menyampaikan pandangan mengenai isu agama dan menyeru semua pihak mengamalkan sikap matang dalam setiap perbincangan yang melibatkan sensitiviti kaum dan kepercayaan.

“Media sosial harus digunakan dengan penuh tanggungjawab. Perbuatan menyebarkan berita palsu atau kenyataan provokatif mengenai agama bileh memburukkan keadaan dan mengundang ketegangan anatar masyarakat,”tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan badan-badan pertubuhan agama untuk terus menganjurkan aktiviti yang menyebarkan mesej keharmonian dan nilai-nilai murni, sejajar dengan matlamat Inisiatif Harmoni MADANI.

Pelaksanaan program Jejak Harmoni ini melibatkan sesi kunjungan muhibah dengan berjalan kaki ke rumah-rumah ibadat bermula dari Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar dan berakhir di Gurdwara Sahib, Sentul.

Program Jejak Harmoni 2025 diakhiri dengan sesi perkongsian pengalaman antara peserta, mencerminkan semangat perpaduan yang semakin erat dalam kalangan rakyat Malaysia. -TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found