MIRI, 15 Feb: Kewujudan AirBorneo dilihat mampu meningkatkan perhubungan udara di Kepulauan Borneo.
Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Pelancongan, Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan, Brunei Darussalam Salinah Mohd Salleh berkata, ini kerana di Kepulauan Borneo terdapat tiga destinasi berbeza yang boleh dilawati.
“Jadi saya rasa bagi pengembara perkara ini sudah pasti akan menarik minat mereka. Mereka juga boleh memilih untuk menggunakan pengangkutan udara atau darat.
“Di Borneo ini, pengembara boleh merasai pengalaman bukan sahaja dari aspek ekopelancongan tetapi juga dapat mengenali masyarakat di sini. Pada pendapat saya, dengan memiliki pelbagai perhubungan pastinya akan mendatangkan kebaikan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga ke seluruh kepulauan ini termasuk Brunei, “ katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Acara Brunei Coffee Trail di sini, hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan yang ditawarkan AirBorneo secara tidak langsung bakal meningkatkan lagi jumlah pelancong ke destinasi utama di Kepulauan Borneo.-TVS