KUCHING, 15 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merupakan seorang pemimpin yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang sains, komunikasi, kejuruteraan dan undang-undang.
Timbalan Yang di-Pertua parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Abang Johari mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan saintis dan membuat keputusan persis seorang ahli teknologi dan ahli perbankan.
“Beliau juga umpama seorang peguam kerana mempunyai pengetahuan mendalam di dalam bidang undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap padaMajlis Perasmian Perhimpunan Agung ke-16 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Uggah menjelaskan, kelebihan itu membuatkan Abang Johari mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa dan menggunakan pengetahuan itu untuk membangunkan Sarawak.
“Justeru, Anugerah Felo Kehormat dari Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN diberikan kepada beliau kerana menjadi individu yang terkemuka dan menyampaikan perkhidmatan cemerlang dalam bidang kejuruteraan, institusi dan negara.
“Beliau turut mendapat anugerah Felo Kehormat Malaysia Institute of Planning (MIP) Excellence Award kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemilihan Abang Johari adalah tepat dalam menampilkan kepimpinan yang cemerlang dan wajar,” ujarnya.
Selain itu, Uggah memberitahu Abang Johari turut menerima Anugerah Kepimpinan Teknologi 2024 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Tambahnya, pelbagai kejayaan yang dikecapi Sarawak sepanjang lapan tahun Abang Johari mengetuai pucuk kepimpinan wilayah ini.
“Beliau turut menerima anugerah “The First Class of The Most Blessed Order of Setia Negara Brunei” oleh Sultan Brunei dan Seri Panglima Darjah Kinabalu oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah,” jelasnya. – TVS