MIRI, 14 Feb: Lebih banyak lapangan terbang perlu diwujudkan di kawasan pedalaman Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Mengambil contoh di kawasan Telang Usan, beliau berkata, hanya terdapat satu lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Long Akah namun tidak semua penduduk dapat menikmati kemudahan tersebut.
“Komen saya apabila Kerajaan Sarawak memiliki AirBorneo, kalau dapat ditambah lapangan terbang di pedalaman.
“Terdapat persepsi salah yang menyatakan orang pedalaman Sarawak senang kerana ada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (Rural Air Services). Sebenarnya tidak semua komuniti menikmati penerbangan RAS ini.
“Dalam kawasan saya, hanya satu kampung iaitu Long San yang menikmati kemudahan ini,” katanya kepada TVS.
Sehubungan itu, Dennis berkata, dengan adanya AirBorneo, lebih banyak destinasi yang mempunyai penerbangan terus dari atau ke Sarawak diperkenalkan.
“Masalah kita selama ini ialah kita tidak mempunyai syarikat penerbangan yang dapat membawa pelawat ke Sarawak seperti yang ada di Sabah yang menyediakan penerbangan terus. Saya harap AirBorneo akan all out,” ujarnya. – TVS