KUCHING, 14 Feb: Dasar yang melibatkan bidang keusahawanan dan inovasi perlu diwujudkan di peringkat kepimpinan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi memastikan golongan belia berminat untuk menceburi bidang tersebut.
Ketua Pemuda N57 Tellian, Johann Harris Sulaiman berkata, dasar itu penting bagi memberikan panduan jelas berkaitan selok-belok keusahawanan dan inovasi kepada belia PBB.
“Melalui dasar itu kita di peringkat cawangan dan ranting dapat menganjurkan program latihan dan bimbingan yang melibatkan bengkel, seminar dan kursus berkaitan mengikut syarat dan pemintaan pasaran yang terkini,” katanya semasa ditemui TVS bersempena Majlis Perhimpunan Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Menurut Johann yang berasal dari Mukah, dasar itu turut dapat menyokong polisi-polisi kerajaan (bidang keusahawanan) yang sedia ada sekaligus dapat digunakan dan dipraktikkan di seluruh Sarawak.
Selain itu, kerjasama di antara ahli-ahli belia dan pemuda bersama dengan usahawan tempatan juga perlu diwujudkan bagi memberi pendedahan berkaitan penggunaan inovasi serta teknologi baharu yang bersesuaian.
Manakala ahli Pemuda PBB Mohammad Fadillah berasal dari Sarikei berpendapat, golongan belia PBB mesti diberi lebih banyak peluang untuk terlibat sama di dalam proses membuat keputusan di dalam parti.
“Misalnya, kerajaan boleh menyediakan platform khas secara dalam talian untuk mendapatkan cadangan dan pandangan mengenai sesuatu isu atau perkara besar yang memerlukan suara ramai,” katanya.
Jelasnya, suara belia PBB itu akan diberikan kepada pemimpin tertinggi untuk proses pertimbangan sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.
Sementara itu, ahli Wanita PBB, Sarina Yan yang berasal dari Samarahan berkata, golongan belia dan wanita PBB di peringkat cawangan dan ranting perlu diberikan peluang untuk menjadi ketua serta terlibat sama di dalam proses membuat keputusan.
“Langkah ini akan memberi peluang kepada wanita untuk lebih bersinar di dalam bidang politik dan kepimpinan di wilayah ini,” jelasnya. – TVS