KUCHING, 14 Feb: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertekad untuk merealisasikan aspirasi Sarawak Maju Makmur Menjelang 2030.
Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, mulai tahun ini dan dalam tempoh separuh kedua pelaksanaan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), mereka akan terus memberi keutamaan untuk mencapai sasaran tersebut.
“Aspirasi ini bertunjangkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Wanita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan anak cucu kita, generasi muda mendapat pendidikan berkualiti, memiliki nilai-nilai murni dan menguasai kemahiran yang relevan untuk menjadi modal insan terbaik bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang berkualiti dalam pembanguanan ekonomi baharu demi Sarawak makmur.
“Selain itu, Wanita PBB akan terus menggalak, memupuk dan mendukung semangat keusahawanan dalam kalangan wanita serta membuka ruang untuk mereka menjadi pemain dan pemangkin utama dalam pembangunan ekonomi yang menyeluruh bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Pergerakan Wanita PBB ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Menurutnya, Wanita PBB turut komited untuk memantapkan kesejahteraan dan keterangkuman sosial dengan memperjuangkan kesamarataan, menangani isu kemiskinan dan kesaksamaan gender serta memastikan tiada golongan tercicir daripada akses kemudahan sosial dan kebajikan untuk kehidupan lebih sejahtera dan berdigniti. -TVS