Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia. Foto TVS

Sarawak rakan dagang penting Jepun dalam sektor tenaga hijau

ByMuqri Aziz

KUCHING, 14 Feb: Sarawak memainkan peranan penting dalam hubungan perdagangan antara Jepun dan Malaysia khususnya dalam sektor tenaga hijau.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki berkata, hubungan antara Sarawak dan Jepun semakin berkembang dengan wilayah ini dilihat sebagai rakan strategik dalam usaha peralihan tenaga mampan.

Shikata yang tiba di Malaysia pada November lalu dan telah menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyatakan lawatan rasminya ke Sarawak adalah langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan dua hala.

“Pada bulan lalu, Perdana Menteri Jepun, Ishiba Shigeru telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan membincangkan kerjasama dalam peralihan tenaga hijau. Premier Sarawak turut menghadiri sidang kemuncak dua hala, yang mana Sarawak diketengahkan sebagai lokasi penting dalam kerjasama antara Jepun dan Malaysia.

“Ini menunjukkan kepentingan kerjasama di peringkat nasional. Oleh itu, saya ingin datang ke Sarawak secepat mungkin bagi berbincang dengan Premier Sarawak mengenai bagaimana kita boleh meneruskan dan mempercepatkan kemajuan kerjasama ini terutamanya dalam bidang tenaga hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Shikata turut menyatakan sokongan terhadap cadangan memperluaskan sambungan penerbangan antarabangsa termasuk kemungkinan penerbangan terus antara Sarawak dan Jepun.

“Saya dimaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak bercadang untuk memperluaskan rangkaian penerbangan Sarawak (melalui AirBorneo) termasuk ke Jepun.

“Ini adalah perkembangan yang menggalakkan kerana pelaburan dalam sektor tenaga hijau memerlukan jaringan pengangkutan yang lebih baik bagi merancakkan pertukaran perniagaan antara Jepun dan Sarawak,” ujarnya.

Beliau menambah selain manfaat ekonomi, penerbangan terus juga akan memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara termasuk memperbanyakkan peluang pelajar Jepun dan Sarawak untuk melanjutkan pengajian seperti di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan