MIRI, 14 Feb: Menjelang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, sudah pasti banyak premis makanan tampil menyediakan pelbagai pakej berbuka puasa.
Seperti di Bandaraya ini, pelbagai premis makanan kelihatan tidak ketinggalan memeriahkan sambutan bulan mulia umat islam itu dengan aneka sajian dan tawaran istimewa yang disediakan.
Menurut Chef Eksekutif Mercure Hotel Miri Clifford Cheah, tahun ini, Mercure Hotel, Miri melalui Ketuk-Ketuk Ramadan Dinner Buffet memilih untuk menyajikan hidangan yang sihat kepada para pelanggan di bulan Ramadan.
“Kalau kita boleh masak tanpa penambah perasa, Monosodium Glutamat (MSG) sebab bagi saya MSG apabila dimakan lama kelamaan lidah saya tiada rasa. Jadi apabila saya nak merasa makanan, saya tak boleh. Selepas saya berhenti menggunakan MSG, saya boleh merasa seperti biasa.
“Jadi sekarang ini saya cuba untuk mengajak barisan chef kami supaya memasak tanpa menggunakan MSG dan menyediakan sajian sihat,” katanya di Preview Ketuk-Ketuk Ramadan Dinner Buffet Mercure Hotel Miri, pada Khamis.
Lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti, Clifford berkata hidangan utama yang disediakan adalah tidak berlebihan.
Ujarnya lagi, bahan-bahan yang digunakan untuk memasak juga diimport dari luar dan sudah semestinya pihak hotel turut mementingkan sumber yang halal.
Sementara itu, Pengurus Besar Mercure Hotel Miri Shan Ravendran pula berkata, harga yang ditawarkan juga berpatutan.
Selain daripada makanan yang disediakan terdapat juga kemudahan tempat meletak kenderaan mekanikal.
“Kadar harga buat setakat ini early bird kita buat RM98+, kalau harga biasa kita buat RM138+, jadi memang berbaloi lah untuk yang early bird then untuk kanak-kanak ataupun senior citizen kita price dia dekat RM58+.
“Keistimewaan selain daripada makanan, Mercure Hotel juga mempunyai tempat meletak kenderaan mekanikal yang pertama di Sarawak, jadi ia merupakan kemudahan yang kami sediakan di sini. Bagi pelanggan yang berbuka puasa di Ketuk-Ketuk Ramadan Dinner Buffet kami, mereka boleh parking secara percuma,” ujarnya.
Tambahnya keistimewaan hidangan pada kali ini ialah 11 jenis sambal yang disediakan melalui cara tradisional.
Malah katanya, untuk mengekalkan citarasa Sarawak, 90 peratus tukang masak terdiri daripada orang tempatan. – TVS