KUCHING, 14 Feb: Pemimpin lama dalam pergerakan wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan mentor kepada generasi baharu.
Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, mereka akan membimbing generasi baharu mengenai keterangkuman dan memastikan parti keramat itu terus menjadi nadi kepada Sarawak.
“Dalam pergerakan wanita kita juga melihat kali ini iaitu gabungan muka baharu dan lama dan ini adalah sebenarnya satu gabungan yang baik sebab pemimpin yang lama boleh menjadi mentor kepada yang baharu.
“Apa yang harus kita lakukan sebagai pemimpin adalah untuk memastikan bahawa parti PBB terus kuat, stabil dan bersatu padu serta memastikan ia menjadi tulang belakang dan nadi kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Menurutnya, perkara tersebut juga menjadi asas penting bagi memastikan pemimpin baharu faham dan tahu peranan mereka dalam meneruskan kesinambungan PBB.
“Dalam pergerakan wanita untuk memastikan perpaduan yang harmonis antara pemimpin lama dan juga yang baharu itu adalah kerjasama yang erat dan representasinya bukan sahaja dari segi gabungan baharu dan lama tetapi keterangkuman antara Bumiputera dan Pesaka.
“Sinergi keterangkuman juga kita pastikan ada representasi daripada seluruh bahagian Sarawak,” jelasnya. – TVS