KUCHING, 14 Feb: Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) yang ditubuhkan pada tahun 2017 telah berjaya menyediakan pembiayaan alternatif yang digunakan oleh Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan beberapa projek mega di wilayah ini, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, antara projek mega itu ialah Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua yang menggunakan kos RM11 bilion, memanfaatkan lebih dua juta orang rakyat Sarawak.
“Pembinaan 15 buah jambatan dengan jumlah kos RM5.9 bilion termasuk tiga jambatan yang dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018.
“Seterusnya, projek grid bekalan air di kawasan terpencil yang menelan belanja RM4 bilion untuk skim elektrik luar bandar dengan kos RM2.4 bilion,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Uggah yang merupakan Timbalan Premier Sarawak menjelaskan, pelaksanaan semua projek penting itu tidak menjadi kenyataan tanpa pembiayaan alternatif kerana kekurangan dana dari belanjawan biasa negeri dan persekutuan.
Tambahnya, ekonomi baharu turut menjadi salah satu bidang yang diberi penekanan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta tidak hanya tertumpu kepada ekonomi konvensional yang berdasarkan kepada industri kelapa sawit, kayu, sektor pertanian dan komoditi. – TVS