KUCHING, 14 Feb: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh menamatkan tugasnya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan beliau sendiri ketika berucap pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda PBB ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
“Sudah sampai masanya untuk saya menamatkan zaman muda saya bersama pemuda. Selama 15 tahun yang penuh suka dan keseronokan, hanya sedikit sahaja duka telah mengajar saya dan menjadikan saya seperti siapa saya pada hari ini.
“Rasanya tanpa adanya platform seperti ini, kemungkinan kerjaya politik saya tidak akan menjadikan saya sebagai seorang ahli yang berhormat. Dengan landasan inilah, kerjaya serius politik saya bermula sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda dan seterusnya julung kalinya anak Bidayuh diangkat sebagai Ketua Pemuda,” katanya.
Miro sebelum ini berkata, pelepasan jawatan tersebut adalah bagi memberi laluan kepada pimpinan muda.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah pada Selasa mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Datuk Martin Ben dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selepas penyandangnya Miro Simuh memutuskan untuk melepaskan jawatan itu.
Jelas Awang Bemee pelepasan jawatan ketua oleh Miro bukan disebabkan faktor had umur kerana perlembagaan parti tidak menetapkan had umur.
Awang Bemee juga memaklumkan kesemua 82 cawangan menyatakan persetujuan supaya tiada pemilihan atau pertandingan bagi pergerakan Pemuda sementara jawatan lain seperti Timbalan Ketua, Dato Lukanisman Awang Sauni, Allan Siden Gramong serta yang lain turut kekal. -TVS