KUCHING, 14 Feb: Kepimpinan parti di peringkat cawangan dan ranting diingatkan agar bergiat aktif menyampaikan maklumat mengenai program dan bantuan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya di bawah Belanjawan 2025.
Menurut Timbalan Yang di-Pertua PBB Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, komitmen itu sangat penting bagi memastikan tidak ada rakyat Sarawak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.
“Falsafah perjuangan PBB bukan hanya sekadar meraih kemenangan dalam pilihan raya semata-mata, tetapi komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Justeru, kita semua mesti kerap turun padang untuk berinteraksi dengan rakyat dan mendengar permasalahan yang dihadapi mereka,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Ke-16 Pergerakan Pemuda & Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Uggah yang merupakan Timbalan Premier Sarawak turut menjelaskan tentang kepentingan menganjurkan program bersama rakyat supaya mereka merasakan kehadiran dan keprihatinan parti PBB.
“Kita mesti sentiasa bersikap inklusif dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang,” jelasnya.
Menurutnya, setiap ahli harus berwaspada terhadap anasir luar dan dalam yang mempunyai perasaan iri hati terhadap kekuatan dan kejayaan parti PBB.
“Sebagai ahli PBB, kita memikul tanggungjawab besar untuk memastikan parti ini terus kuat, dihormati, dan menjadi tulang belakang GPS dalam mempertahankan hak serta kemajuan Sarawak,” tambahnya. – TVS