KUCHING, 14 Feb: Kerajaan Sarawak ambil maklum situasi sesetengah peruncit yang menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG) di pasaran, ketika ini, tegas Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Menurutnya dengan itu syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) telah diarahkan untuk mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang mengambil kesempatan susulan gangguan bekalan akibat bencana banjir yang melanda Sarawak, baru-baru ini.
“Saya telah mengarahkan PETROS untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak sah.
“Dalam keadaan kritikal seperti bencana alam, semua pihak perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah.
“Justeru, saya menyeru agar peruncit tidak mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain,” katanya.
Ujarnya, harga runcit bagi LPG domestik bersubsidi kekal pada kadar RM26.60 setong.
Bagi memastikan bekalan LPG di Sarawak mencukupi, beliau menambah bahawa Petrosniaga telah meningkatkan jumlah silinder LPG hampir dua kali ganda sebelum ini.
“Petrosniaga telah menyuntik RM50 juta untuk 350,000 silinder baru di pasaran dan jumlah ini telah digandakan kepada 690,000 silinder dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
“Secara keseluruhan, kini terdapat 1.8 juta silinder LPG dalam edaran di Sarawak,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Julaihi memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak dan Petrosniaga sedang giat untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin, termasuk mendapatkan bekalan LPG daripada Senari. – TVS