KOTA BHARU, 14 Feb: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas balak, mesin dan kayu yang diproses secara haram dianggarkan bernilai RM8.22 juta di Kampung Bukit Tunku, Pasir Mas pada Rabu.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan di sebuah kilang kayu telah menemukan 13 longgokan kayu pelbagai saiz dan spesies, 128,000 batang kayu sudah diproses serta beberapa mesin memproses.
Beliau berkata kilang itu didapati beroperasi tanpa lesen sah dari Jabatan Perhutanan Kelantan.
“Pemilik kilang itu lelaki berumur 45 tahun dipercayai menjual kayu berkenaan ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata suspek serta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pasir Mas dan jabatan perhutanan negeri untuk tindakan selanjutnya.