Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri menyerahkan cek cura bernilai RM300,000 kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Foto: Nadim Bokhari (TVS)

YKN sumbang RM300,000 kepada Sarawak bantu mangsa bencana

ByMuqri Aziz

KUCHING, 13 Feb: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) hari ini menyerahkan cek bernilai RM300,000 kepada Kerajaan Sarawak sebagai bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di wilayah ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sumbangan tersebut adalah tanda keprihatinan terhadap situasi yang dihadapi rakyat Sarawak dan disalurkan terus ke dalam akaun Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“Kami amat bersimpati dengan apa yang berlaku di Sarawak dan oleh itu kami dari YKN merasakan ini adalah cara terbaik untuk membantu kerana kami percaya JPBNS lebih mengetahui keperluan serta langkah yang perlu diambil.

“Kami juga sedar bahawa jumlah ini mungkin tidak mencukupi memandangkan skala kerosakan yang berlaku dan sebab itu kita memberi sumbangan ini kepada Kerajaan Sarawak supaya mereka dapat menyusun atur pengagihannya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN turut berterima kasih kepada syarikat dan individu yang menyumbang kepada YKN bagi memastikan bantuan kebajikan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi JPBNS merakamkan penghargaan kepada YKN atas sumbangan yang diberikan sekali gus membantu usaha Kerajaan Sarawak dalam menangani impak banjir.

“Kita juga berterima kasih kepada pelbagai pihak yang menderma kepada JPBNS bagi membolehkan kita membantu mangsa yang terkesan serta membaiki infrastruktur rosak,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM12.8 juta melalui Pejabat Perdana Menteri (PMO) manakala Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyumbang RM10 juta.

Selain itu, sektor swasta turut memainkan peranan dalam memberikan bantuan kewangan termasuk Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebanyak RM2 juta, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) RM50,000 dan MBSB RM100,000.

“Secara keseluruhan, sumbangan daripada sektor swasta berjumlah lebih RM2.40 juta. Ini sangat membantu kita meneruskan usaha bagi membantu mangsa banjir,” jelasnya.

Setakat jam 8 pagi tadi, sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di seluruh Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan