KUCHING, 13 Feb: Isu kemiskinan dan pendidikan akan menjadi fokus utama dalam Perhimpunan Agong Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-16 akan datang.
Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, antara agenda utama yang akan diketengahkan termasuk peranan wanita dalam melahirkan generasi pelapis dan modal insan berkualiti untuk mengisi peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi moden.
“Melalui jabatan di bawah kementerian saya, kita boleh kongsikan dengan pergerakan wanita mengenai bantuan yang disediakan oleh kerajaan termasuk bantuan bulanan untuk rakyat miskin dan pelbagai geran yang tersedia bagi membantu mereka menceburi bidang perniagaan serta menambah pendapatan.
“Bantuan ini bukan sahaja di bawah kementerian kami tetapi juga melalui kementerian lain,” katanya kepada media di Bangunan Baitul Makmur II pada Rabu.
Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata, wanita PBB bukan sahaja bertindak sebagai penyampai maklumat kepada rakyat mengenai inisiatif kerajaan tetapi penghubung utama dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak.
Malah menurutnya, pada 31 Disember lalu, Sarawak berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar berdasarkan data yang dikumpulkan dan bantuan disalurkan kepada isi rumah memerlukan.
“Kita tak boleh basmi kemiskinan sepenuhnya tetapi kita boleh kurangkan kemiskinan seperti yang berlaku sekarang atas faktor banjir (bencana alam) sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dalam rumah,” ujarnya.
Mengenai isu pendidikan Fatimah menjelaskan, modal insan yang berpendidikan, berdaya saing serta inovatif amat diperlukan terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita tidak bekerja secara silo. Kita bekerjasama dengan rakan strategik supaya kita dapat menghasilkan sesuatu yang lebih berkesan. Sebagai contoh, wanita dalam bidang STEM.
“Inilah satu daripada peranan yang boleh dimainkan oleh wanita khususnya wanita PBB dalam memastikan anak-anak muda dan generasi pelapis mendapat pendidikan sewajarnya untuk mengisi peluang pekerjaan dalam ekonomi baharu,” jelasnya.
Menurutnya, dengan peranan yang semakin luas dan strategik, Wanita PBB bukan sahaja menjadi tonggak kestabilan parti tetapi membentuk generasi baharu berpendidikan dan terlatih untuk menyertai tenaga kerja dalam ekonomi masa depan. -TVS