KUCHING, 13 Feb: Sikap kurang kesungguhan dan ketiadaan semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain menjadi antara faktor Malaysia sering bergelut dalam pertandingan peringkat antarabangsa.
Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim berkata, kelemahan tersebut merupakan isu kritikal yang perlu ditangani.
“Ini menjadi kelemahan utama pasukan negara apabila bermain dalam kejohanan berkumpulan.
“Kita dapat lihat bagaimana mentaliti mereka apabila diturunkan bermain, tidak nampak kesungguhan segelintir pemain ataupun fighting spirit dalam diri mereka, ” kata Roslin ketika ditemui TVS di sini, pada Khamis.
Roslin turut menegaskan perubahan mentaliti pemain amat diperlukan terutama apabila mereka disenaraikan untuk beraksi dalam kejohanan peringkat kumpulan.
Katanya, sikap bermain hanya untuk melengkapkan jadual perlawanan tidak boleh diterima jika Malaysia mahu kekal relevan di pentas badminton dunia.
“Jadi mentaliti inilah yang harus mereka tukar terutamanya apabila disenarikan di kejohanan peringkat kumpulan.
“Kita perlu pemain yang turun dengan semangat mahu menang dan memberikan segalanya di gelanggang,” ujarnya.
Terdahulu pasukan badminton negara gagal mara ke pusingan kalah mati dalam kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 yang berlangsung di Qingdao, China.
Ini termasuk kekalahan mengecewakan kepada Hong Kong dan Indonesia masing-masing dengan keputusan (3-2) dalam aksi kumpulan B. – TVS