KUCHING, Feb 13: Pengambilalihan syarikat penerbangan MasWings daripada Malaysia Aviation Group (MAG) dijangka memberi impak positif kepada industri penerbangan tempatan dengan menawarkan lebih banyak pilihan kepada penumpang termasuk penduduk tempatan dan pelancong.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah tersebut bukan sahaja memperluaskan akses perjalanan udara tetapi turut mewujudkan ekosistem lebih komprehensif dalam sektor penerbangan termasuk peningkatan keperluan dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
“Pengambilalihan ini akan merancakkan industri dengan memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang dan mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang kejuruteraan serta teknikal penerbangan.
“Dengan penjenamaan semula kepada AirBorneo, syarikat ini dijangka menawarkan perkhidmatan lebih luas pada masa depan sekali gus meningkatkan persaingan sihat dalam industri,” katanya.
Menurutnya, langkah tersebut selari dengan usaha mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi antarabangsa selain menarik lebih banyak pelaburan asing menerusi hubungan udara yang lebih baik.
Penjenamaan semula MasWings kepada AirBorneo akan menyaksikan syarikat itu beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang memberikan pilihan perjalanan lebih baik kepada pengguna di Malaysia Timur dan kawasan sekitarnya. – TVS