KUCHING, 13 Feb: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan bekerjasama rapat dengan AirBorneo bagi memanfaatkan kewujudan syarikat penerbangan itu dari aspek menarik lebih ramai pelancong ke wilayah ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau percaya dua pihak ini akan merangka pakej-pakej pelancongan dan percutian apabila ia telah beroperasi sepenuhnya kelak.
“Ia (AirBorneo) akan memberi anjakan kepada industri pelancongan. Saya percaya apa-apa pakej yang akan dirancang AirBorneo, mungkin belum sekarang, mereka akan atur pakej percutian dan sebagainya.
“Kementerian Pelancongan menerusi agensi seperti STB akan bekerjasama menggembleng tenaga untuk memberi maklumat tentang apa jua yang berupaya dalam menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Hari Integriti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan di sini, hari ini.
Pengumuman mengenai AirBorneo dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) pada Rabu.
Perjanjian itu membolehkan Kerajaan Sarawak mengambil alih penerbangan MASwings.
“Kita menyambut baik pengumuman Premier (Abang Johari) yang kita ada penerbangan sendiri. Ini satu kebanggaan rakyat Sarawak termasuk Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan,” katanya.