KUCHING, 13 Feb: Sejumlah RM1 bilion diperuntukkan kerajaan tahun ini bagi memperkasa komuniti.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bagaimanapun berkata, masih banyak pihak belum memanfaatkan peruntukan tersebut sepenuhnya.
Menurutnya, geran sehingga RM100,000 disediakan untuk setiap komuniti melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah program Sejahtera Komuniti MADANI.
“Di Sarawak, pelaksanaan program ini diperkasakan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang berdaftar serta memiliki Sijil Perakuan Pendaftaran JKKK. Pada tahun lalu sahaja, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk memperkasa JKKK di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Replika Cek Program Sejahtera Komuniti MADANI di sini, hari ini.
Peruntukan berjumlah RM1,924,758 disalurkan kepada Parlimen Santubong yang melibatkan DUN Pantai Damai dan Demak Laut melalu program Sej@ti MADANI.
Sementara itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, sebanyak 1,024 JKKK menerima manfaat dengan 1,024 program diluluskan berdasarkan permohonan diterima menerusi peruntukan tersebut.
Program tersebut memberi tumpuan kepada lima sektor utama yang berpotensi memacu ekonomi komuniti iaitu sektor pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Sebagai contoh menurutnya, di kawasan DUN Pantai Damai yang mempunyai 45 JKKK, hanya 13 permohonan mendapat kelulusan daripada 11 JKKK yang memohon.
Setakat ini, terdapat dua permohonan baharu namun masih banyak JKKK yang belum mengemukakan permohonan.
“Saya ingin menyeru agar pihak JKKK yang menerima dana ini memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Gunakan peluang ini untuk menjana ekonomi komuniti dan memacu aktiviti yang selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI. Kejayaan program ini bukan sahaja bergantung kepada dana tetapi juga kepada usaha bersama kita semua,” ujarnya.
Nancy turut mengingatkan permohonan masih dibuka dan boleh dibuat secara atas talian melalui Sistem MySejaTi MADANI di laman sesawang sejatimadani.icu.gov.my.
“Kita mempunyai pelbagai saluran untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Jangan biarkan peluang ini terlepas kerana setiap peruntukan yang diberikan bertujuan membantu rakyat meningkatkan taraf hidup mereka,” jelasnya. – TVS