KUCHING, 13 Feb: Gabungan Persatuan Cina Sarawak (GPCS) menggesa ahlinya dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai hasil rundingan antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berkaitan industri minyak dan gas.
Presiden GPCS, Datuk Richard Wee, berkata keputusan akhir rundingan antara kedua-dua syarikat masih belum diumumkan secara rasmi.
“Marilah kita memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta menyerahkan kebijaksanaan kepada mereka untuk mencapai penyelesaian terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baru Persekutuan Persatuan Cina Kuching, Samarahan dan Serian di Hotel Imperial, semalam.
Richard menegaskan bahawa masyarakat Cina akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Sarawak.
“Kami akan sentiasa menyokong Premier Sarawak dalam memperjuangkan hak dan kepentingan wilayah ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa persekutuan akan terus berperanan sebagai jambatan antara masyarakat Cina dan kerajaan, demi membina saling kepercayaan dan menghormati, serta memastikan manfaat dikongsi bersama dalam masyarakat.
“Kami sentiasa menyokong dasar yang adil, inklusif, serta berpandangan jauh yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.”
“Selagi kita menegakkan tadbir urus yang baik dan berkhidmat kepada rakyat dengan empati serta belas kasihan, masa depan Sarawak pasti akan lebih makmur dan berjaya,” ujarnya. -TVS