KUCHING, 13 Feb: Pucuk kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpin Yang Dipertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya menjadikan parti tersebut kekal relevan sehingga kini.
Timbalan Yang Dipertua PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan kejayaan ini didorong oleh kepimpinan yang kukuh serta perpaduan dalam kalangan ahli parti yang sentiasa berpegang pada prinsip muafakat dalam kestabilan politik.
“Dalam PBB, kita mempunyai muafakat antara sayap Pesaka dan Bumiputera. Oleh itu, pemahaman dan muafakat ini telah diamalkan sejak sekian lama.
“Ini adalah salah satu rahsia dan resepi kejayaan kami kerana Pesaka mempunyai barisan mereka sendiri, begitu juga dengan Bumiputera yang mempunyai barisan mereka sendiri.
“Jadi, tiada berlaku pertembungan fahaman antara kedua-dua parti ini. Selain itu, kejayaan PBB turut didorong oleh kepimpinan yang bekerja keras dan komited.
“Kita dapat melihat bagaimana mesyuarat dari peringkat ranting hingga ke cawangan serta konvensyen yang akan datang, berjalan dengan lancar. Kita tidak mendengar tentang sebarang perbalahan atau pertelingkahan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas sempena Perhimpunan Agung PBB Ke-16 di sini pada Rabu.
Sejak penubuhannya pada tahun 1973, PBB terus kekal teguh sehingga ke hari ini walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kemunculan parti politik lain.
Jelas Uggah, faktor utama kejayaan PBB juga didorong oleh kepimpinan yang berwibawa warisan pemimpin terdahulu.
“Saya telah terlibat dalam politik sejak tahun 1977, jadi saya telah menyaksikan banyak parti yang muncul, kemudian hilang dan berpecah.
“Tetapi PBB tetap kukuh dan terus berkembang dari tahun ke tahun. Salah satu faktor kejayaan ini adalah kerana kepemimpinan yang berwibawa warisan pemimpin terdahulu.
“Pemimpin pertama adalah Tun Datuk Patinggi Jugah Barieng disusuli Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, kemudian Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan kini tentunya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Semua pemimpin ini sangat kuat, fokus dan setiap mereka telah memperjuangkan banyak hal semasa era mereka,” katanya.-TVS