Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) 2.0 berkemampuan sepenuhnya memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MSPO Mohamed Hafizin Mohamed Tajudin. Foto hiasan Envato

Pensijilan MSPO 2.0 penuhi keperluan EUDR, kata Ketua Pegawai Eksekutif MSPO

ByBernama

PUTRAJAYA, 13 Feb: Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) 2.0 berkemampuan sepenuhnya memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MSPO Mohamed Hafizin Mohamed Tajudin.

Bercakap pada sesi taklimat media mengenai MSPO 2.0 di sini hari ini, beliau berkata EUDR mewajibkan pematuhan kepada empat elemen utama – kesahihan tanah, layanan terhadap buruh, kebolehkesanan, dan tiada penebangan hutan, semuanya dimasukkan dalam rangka kerja pensijilan MSPO.

“Sebagai contoh dalam isu penebangan hutan, EUDR menetapkan bahawa kawasan hutan tidak boleh ditebang selepas 31 Disember, 2020. Bagaimanapun, MSPO mempunyai syarat yang lebih ketat, di mana hutan tidak boleh ditebang selepas 31 Disember, 2019 untuk layak mendapat pensijilan,” katanya.

Mohamed Hafizin turut menekankan bahawa pemilikan tanah adalah kriteria asas bagi pensijilan MSPO dan mereka yang tidak mempunyai hak milik tanah yang sah tidak layak untuk mendapatkan pensijilan MSPO.

Mengenai layanan terhadap buruh, beliau berkata MSPO menggabungkan penilaian impak sosial, memastikan entiti diperakui mematuhi piawaian buruh yang betul.

Dalam pada itu, mengenai kebolehkesanan pula, Mohamed Hafizin mengakui ia sebelum ini menjadi keperluan secara sukarela di bawah piawaian 2013, bagaimanapun di bawah piawaian MSPO 2022 yang disemak semula, kebolehkesanan telah menjadi wajib.

“Ini memberikan kami keyakinan tinggi bahawa mana-mana entiti diperakui di bawah MSPO 2.0 boleh memenuhi keperluan EUDR,” katanya.

Menggambarkan keberkesanan pensijilan MSPO 2.0, beliau berkata sebuah syarikat yang mahu menjual minyak sawit kepada pembeli dari Eropah boleh membentangkan rantaian bekalan diperakui MSPO sepenuhnya sebagai bukti pematuhan.

“Apabila produk ini tiba di pelabuhan Eropah, pihak berkuasa yang berwibawa akan melihat bahawa ia diperakui MSPO. Sekiranya mereka memerlukan pengesahan lanjut, mereka boleh mengakses sistem e-MSPO, yang mengandungi laporan audit dari 2013 hingga 2025,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa MSPO 2.0 melangkaui penetapan piawaian dan menjalankan audit dengan menyediakan sistem telus, membolehkan entiti diperakui menunjukkan kredibiliti mereka kepada pasaran dan pengawal selia antarabangsa.

MSPO 2.0 berkuat kuasa pada 1 Januari tahun ini, memperkenalkan garis panduan lebih ketat untuk kemampanan, kebolehkesanan dan amalan beretika dalam pengeluaran minyak sawit.

Sebelum ini, MSPO dikenali sebagai Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia.

Beliau berkata MSPO 2.0 menambah baik piawaian asal MSPO 2013 dengan mengguna pakai keperluan lebih ketat dan lebih komprehensif, seiring dengan piawaian global semasa dan jangkaan untuk kelestarian alam sekitar, tanggungjawab sosial dan amalan tadbir urus (ESG). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan