Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengeluaran getah asli Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 5.1 peratus pada Disember 2024 kepada 38,299 tan metrik berbanding 40,341 tan metrik pada November 2024

Pengeluaran getah asli Malaysia merosot 5.1 peratus pada Disember 2024

ByMarzella Sigai

PUTRAJAYA, 13 Feb: Pengeluaran getah asli Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 5.1 peratus pada Disember 2024 kepada 38,299 tan metrik berbanding 40,341 tan metrik pada November 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perbandingan tahun ke tahun tersebut, menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 26.2 peratus berbanding pada bulan Disember 2023, iaitu 30,342 tan metrik.

Ketua Perangkawan Malaysia Dato Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli pada Disember 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil iaitu 89.4 peratus berbanding sektor estet, 10.6 peratus.

“Jumlah stok getah asli pada Disember 2024 meningkat 1.4 peratus kepada 167,745 tan metrik berbanding 165,384 tan metrik pada November 2024.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.2 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,338 tan metrik pada Disember 2024, meningkat 1.8 peratus berbanding 43,562 tan metrik pada November 2024.

Menurut Mohd Uzir, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 49.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2024 diikuti Jerman (12.9 peratus), Emiriah Arab Bersatu (7.3 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus) dan Portugal (3.3 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.5 billion pada Disember 2024, meningkat 6.2 peratus berbanding November 2024 iaitu RM1.4 billion,” ujarnya.

Menurut DOSM, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 2.3 peratus pada Disember 2024 dengan harga RM699.35 sekilogram, November 2024 (RM683.48 sekilogram), manakala Sekerap meningkat sebanyak 3.9 peratus pada Disember 2024 iaitu RM757.28 sekilogram, November 2024 (RM728.68 sekilogram).

Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 2.3 peratus dan 3.5 peratus.

Prestasi suku keempat 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 10.7 peratus kepada 117,040 tan metrik berbanding 105,715 tan metrik pada suku ketiga 2024.

Sementara itu, prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2024 pula mencatatkan peningkatan 24.6 peratus berbanding suku keempat 2023 iaitu sebanyak 93,956 tan metrik.

Dalam pada itu, The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 3.2 peratus, daripada USD1.93 sekilogram kepada USD1.99 sekilohram) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 4.1 peratus, iaitu daripada USD2.29 sekilogram kepada USD2.38 sekilogram.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Disember 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bercampur dengan peningkatan harga SMR 20.

Sentimen pasaran disokong oleh kebimbangan yang berpanjangan untuk bekalan akibat hujan lebat dan banjir di negara utama pengeluar getah asli, selain turut dirangsang oleh kenaikan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan prestasi ekonomi China yang lebih baik daripada rangsangan tambahan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan