WASHINGTON, 13 Feb- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Rabu mengumumkan pembebasan seorang warga Amerika dan dua tahanan politik dari Belarus, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
“Kepimpinan tegas Presiden (Donald) Trump membawa kepada pembebasan seorang warga Amerika yang ditahan secara tidak adil di Belarus serta dua tahanan politik,” kata Rubio dalam satu kenyataan, sambil mengucapkan terima kasih kepada “kerajaan Lithuania atas kerjasama dan bantuannya.”
Rubio bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai identiti individu yang dibebaskan atau kewarganegaraan dua tahanan politik berkenaan.
Chris Smith dari Jabatan Negara AS memberitahu CNN bahawa ketiga-tiga individu itu dibawa keluar dari Belarus melalui negara jiran, Lithuania.
Utusan khas Trump bagi hal ehwal tebusan, Adam Boehler pula mendedahkan kepada CNN bahawa individu keempat dibebaskan pada Januari sebagai sebahagian daripada operasi yang sama.
“Ini adalah operasi khas dengan kami melintasi sempadan Belarus, masuk ke Minsk untuk bertemu dengan pihak berkuasa Belarus.
“Mereka diserahkan kepada kami, dan kami membawa mereka keluar melalui Lithuania,” kata Smith kepada CNN.
Smith menjelaskan bahawa pembebasan itu merupakan “isyarat unilateral” daripada Belarus, yang dipimpin oleh Alexander Lukashenko sebagai usaha untuk “memperbaiki hubungan” dengan AS.
Lukashenko, sekutu rapat Presiden Rusia Vladimir Putin, “tidak mendapat sebarang balasan” daripada pertukaran ini, katanya.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas guru warga AS Marc Fogel, yang dipenjarakan di Rusia sejak 2021 dibebaskan dan kembali ke AS pada Selasa.
Ia juga berlaku ketika Trump dan Putin mengadakan perbualan telefon pada Rabu mengenai usaha menamatkan perang di Ukraine. -TVS