KUCHING, 13 Feb: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai tulang belakang dalam kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan kekal memainkan peranan dalam menjaga keharmonian dan kepentingan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Menegaskan pendirian itu, Premier yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, walaupun PBB berteraskan kepada bumiputera, namun kerangka kefahaman yang lebih luas mesti dijaga yang akhirnya memberi kesan positif kepada pembangunan seluruh Bumi Kenyalang.
“Sekarang ini di Sarawak terdapat gereja dan masjid dibangunkan di kawasan Sebauh… saya rasa perkara ini adalah antara kita dengan Tuhan, jadi perhubungan manusia mesti ada.
“Kalau kita antara orang Islam percaya dengan petikan al-Quran ‘Hablum minannas’, ia tidak sebut hubungan dengan orang Islam tetapi perhubungan manusia dengan manusia.
“Jadi pada hemat saya, kerangka kefahaman yang lebih luas mesti kita jaga,” katanya dalam temu bual khas bersama Suara Sarawak di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Cadangan garis panduan yang tidak dipersetujui itu antara lain menyatakan pelibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Justeru, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menegaskan akan terus memastikan pentadbiran Kerajaan Sarawak yang diterajuinya mengamalkan dasar yang inklusif.
“Dasar kita mesti inklusif termasuk mereka yang bukan dalam parti, kepentingan Cina mesti kita jaga walaupun Cina tidak dalam PBB… begitu juga kepentingan rakan-rakan kita,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata, dasar itu turut ditekankan dalam Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 (PCDS) 2030 yang menjaga kepentingan semua pihak tanpa melihat latar belakang bangsa dan agama.
“Jadi kalau kita jaga semua, maknanya kepercayaan itu ada… kita jangan nampak ada berbeza-beza.
“Dari segi agama, kita bangunkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), bermakna kita menjaga juga kepentingan masyarakat yang bukan Islam.
Jadi dari sudut itu, kita merasakan mesti ada persahabatan yang kukuh antara agama,” katanya. – TVS