KUCHING, 13 Feb: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus giat melatih dan mengasah nilai kepimpinan golongan belia untuk menjadi penerus perjuangan parti berkenaaan.
Timbalan Yang Dipertua PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memaklumkan generasi muda kini dilihat semakin aktif dan bersemangat menyertai arena politik.
“Kita dalam PBB menubuhkan sayap belia dan semasa perhimpunan agung ini mereka akan menjadi pemerhati dahulu kerana kami mahu membimbing mereka untuk menjadi penerus kepada perjuangan.
“Mereka harus belajar (menjadi pemimpin) kerana tidak semestinya bepelajaran tinggi akan menjadi pemimpin yang hebat. Mereka perlu ada pengalaman dan melalui proses belajar daripada pemimpin yang ada kini. Kebijaksanaan tidak datang melalui pelajaran sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam satu temu bual khas bersempena dengan Perhimpunan Agung PBB ke-16.
Tambahnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Yang Dipertua PBB merupakan pemimpin yang wajar dicontohi kerana mempunyai visi dan misi untuk pembangunan masa depan.
Selain pengalaman, belia juga harus memahami perjuangan dan sejarah parti untuk memastikan mereka mampu menjadi pemimpin masa depan.
Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak turut memaklumkan PBB merupakan sebuah parti yang memartabatkan golongan wanita sebagai pemimpin dan turut serta dalam perjuangan.
“PBB tidak mengira jantina. Sekarang ini kita dapat lihat banyak wanita menjadi ketua dan menjawat jawatan tinggi dalam pelbagai sektor dan perkhidmatan.
“Dari sudut politik, ada wanita yang telah menjadi menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan mahu pun negeri,” ujarnya.
Untuk memastikan golongan belia yang berkualiti, Kerajaan Sarawak sangat menekankan pendidikan dan kemahiran yang harus bergerak seiring untuk mendepani pembangunan teknologi global -TVS