KUCHING, 13 Feb: Acara Kuching Cari Cari Water Edition anjuran Lembaga Air Kuching (LAK) kembali dengan menampilkan konsep pencarian harta karun pada 16 Februari ini.
LAK dalam kenyataan hari ini menjelaskan, ia bertujuan melibatkan komuniti dalam aktiviti santai dan interaktif dan menekankan kepentingan infrastruktur serta usaha berterusan LAK dalam memastikan sumber air disalurkan ke setiap kediaman.
“Acara pencarian harta karun ini akan bermula dan berakhir di Ibu Pejabat LAK di Batu Lintang dengan peserta akan menjelajah beberapa lokasi air utama di Sarawak termasuk Loji Rawatan Air Matang dan Loji Rawatan Air Batu Kitang.
“Laluan mencabar ini bukan sahaja menawarkan pengalaman yang menyeronokkan kepada peserta malah memberi peluang untuk menghargai peranan penting kemudahan pengurusan air dalam memastikan bekalan air bersih yang berterusan,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, acara berkenaan turut menekankan kepentingan kerjasama berpasukan, strategi dan semangat komuniti sambil meraikan kepentingan air dalam kehidupan seharian.
Sebanyak 50 pasukan akan bertanding dalam acara perburuan harta karun itu bagi merebut mahkota kejuaraan sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.-TVS