KUALA LUMPUR, 13 Feb: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) belum bercadang untuk memperkenalkan algoritma khas bagi menentukan kadar upah yang berpatutan dalam industri gig di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya memandang kepentingan mengekalkan sifat fleksibiliti dan kedinamikan industri gig serta mengelakkan kawal seliaan yang terlalu ketat yang berisiko mengganggu ekosistem sedia ada yang beroperasi dengan baik.
“Pada 22 November tahun lepas, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju supaya KESUMA menubuhkan Majlis Perundingan seperti yang terdapat di dalam Rang Undang – Undang (RUU) Pekerja Gig.
“Majlis ini akan berfungsi sebagai platform perbincangan strategik bagi menangani isu-isu berkaitan pekerja gig secara inklusif dan konstruktif termasuk perkara berkaitan algoritma,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (Perikatan Nasional – Tangga Batu) yang ingin tahu adakah KESUMA berhasrat untuk menyediakan satu algoritma khas dalam meletakkan keadah gaji minimum kepada pekerja industri gig.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Majlis Perundingan berkenaan akan melibatkan perbincangan melibatkan wakil pekerja gig, penyedia platform, entiti kontrak dan wakil kerajaan.
Antara peranan utama majlis tersebut jelas beliau adalah untuk mengemukakan cadangan mengenai kadar pendapatan minimum, formula kadar pendapatan dan standard minimum yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.
“Sekiranya cadangan tersebut diterima dan diluluskan, pewartaan akan dibuat oleh Menteri Sumber Manusia (Steven Sim Chee Keong).
“Pendekatan ini bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan di antara pekerja gig dan entiti kontrak atau penyedia platform bagi mengekalkan sifat dinamik serta fleksibiliti ekosistem industri gig di Malaysia,” jelasnya. – TVS