KUALA LUMPUR, 13 Feb: Kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, yang akan memudahkan individu atau kumpulan untuk mengadakan perhimpunan tanpa perlu mendapat kelulusan daripada pemilik atau penghuni tempat perhimpunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan ini akan menghapuskan keperluan bagi perhimpunan untuk mendapatkan persetujuan pemilik tempat perhimpunan seperti yang terkandung dalam Seksyen 11 Akta 736, yang selama ini menjadi halangan dalam melaksanakan beberapa perhimpunan aman.
Kata beliau menerusi pindaan itu kelak, peraturan yang sebelumnya menghendaki persetujuan pemilik tempat akan dikeluarkan sekali gus menjadikan proses lebih mudah dan cepat.
“(Perkara) yang diperlukan hanya untuk disebut dalam istilah undang-undangnya ialah pemberitahuan ataupun pemakluman kepada polis lima hari sebelum itu (perhimpunan aman) supaya polis dapat menjaga keselamatan kawalan dan juga lalu lintas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan – Kota Melaka) yang ingin tahu kesediaan kerajaan dalam meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum perhimpunan.
Jelas Anwar, langkah ini juga menyaksikan keputusan kerajaan untuk menghentikan segala siasatan terhadap perhimpunan-perhimpunan yang telah diadakan sebelum ini, seperti Perhimpunan Anti Rasuah yang melibatkan mahasiswa dan mogok lapar yang berlaku beberapa hari lalu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, rekod permohonan perhimpunan aman yang dilaksanakakan sejak tahun 2012 menunjukkan peningkatan dalam kelulusan perhimpunan.
“Pada tahun 2021 umpamanya, permohonan diterima adalah 1,639 dan dapat kelulusan 1,606 iaitu 97.9 peratus.
“Tahun 2022, permohonan diterima adalah 12,256 manakala yang diluluskan adalah 12,123 iaitu 98.9 peratus. Jadi begitu juga 2024, daripada 5,151 permohonan sebanyak 98.78 peratus diluluskan,” ujarnya.
Tegas Anwar, dengan pindaan ini, kerajaan memberi penekanan pada kepentingan perhimpunan aman yang tidak melibatkan unsur-unsur jenayah atau ancaman keselamatan dan tindakan terkecuali hanya akan berlaku untuk kes yang melibatkan senjata, keselamatan atau jenayah. – TVS