KUALA LUMPUR, 13 Feb: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menyekat sebanyak 5,026 laman sesawang judi sejak 2022 hingga 1 Februari lepas.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sejumlah 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial juga diturunkan bagi tempoh sama.
Kata beliau SKMM terus memperkukuh usaha membanteras perjudian dalam talian, menyekat laman sesawang dan kandungan perjudian di media sosial dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“MCMC (juga) telah mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari tahun ini
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi-obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang telah diterbitkan oleh MCMC,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azahari Hasan (Perikatan Nasional – Padang Rengas) yang ingin tahu langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin berleluasa.
Mengulas lanjut Fahmi langkah berkenaan akan dapat meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna.
Dalam pada itu, menurut Fahmi, SKMM juga menjalankan sesi libat urus secara berterusan dengan penyedia platform media sosial, membuka peluang untuk kerjasama lebih erat bersama pihak penguatkuasaan.
“Melalui sesi ini, penyedia platform dapat memahami konteks tempatan dari segi nilai, norma masyarakat dan undang-undang yang mungkin tidak selaras dengan standard komuniti dan terma dan syarat mereka.
“Usaha ini menyumbang kepada penambahbaikan kerja-kerja penyederhanaan kandungan oleh penyedia platform dan menjadikannya lebih efisien dan berkesan,” ujarnya. – TVS