KUALA LUMPUR, 13 Feb: Majlis Belia Malaysia (MBM) menerima tambahan peruntukan kepada RM5 juta tahun ini untuk memperkasakan pembangunan belia di seluruh negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, pada tahun lepas MBM menerima peruntukan sebanyak RM4.65 juta.
Tambahan berkenaan kata Adam Adlu menunjukkan kerajaan terus komited terhadap pembangunan belia namun jelas beliau penyalurannya tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat ditetapkan.
“Pemberian bantuan disalurkan hanya kepada MBM, Majlis Belia Negeri (MBN), Majlis Belia Daerah (MBD) serta badan gabungan MBM yang selari dengan prosedur pemberian bantuan.
“Usaha ini bagi meningkatkan keberkesanan tadbir urus MBM serta memberikan kesan langsung kepada ahli-ahli pertubuhan belia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (Perikatan Nasional – Mersing) yang ingin tahu strategi dan inisiatif KBS dalam memantapkan peranan serta fungsi MBM ke arah pemerkasaan belia terutama dari segi penyelarasan pertubuhan belia dan pelajar.
Menurut Adam, sebagai langkah strategik ke arah memperkasa pembangunan belia, MBM telah membentangkan Visi MBM 2048 pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) pada Januari 2024.
Selain itu, katanya, KBS juga telah mengadakan sesi penyelarasan bersama MBM, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 21 Oktober tahun lepas untuk memperkukuh kerjasama antara pertubuhan pelajar dan MBM.
Tambah Adam lagi, pihaknya turut menyediakan platform kepada MBM untuk menyuarakan isu berkaitan belia melalui Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang dilaksanakan setiap tahun melibatkan pemimpin pertubuhan belia di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah, serta wakil kerajaan negeri dan agensi kerajaan.
“MPBN merupakan sesi persidangan dan libat urus yang membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan dan keperluan belia. MBM juga merupakan rakan strategik utama KBS dalam melaksanakan pelbagai program serta inisiatif pembangunan belia,” ujarnya. – TVS.