KUALA LUMPUR, 13 Feb: Penurunan kecil dalam pasaran saham global tidak memberi impak besar terhadap ekonomi negara yang masih menunjukkan prestasi yang kukuh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, ini dicerminkan oleh angka pelaburan dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang menggalakkan pada tahun lepas.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun terdapat penurunan kecil sebanyak 0.2 peratus daripada jumlah permodalan saham yang mencecah RM2 trilion, Malaysia masih menunjukkan daya tahan ekonomi yang luar biasa berbanding negara-negara jiran.
“Maknanya Malaysia hilang RM953 juta, Thailand kehilangan empat kali ganda daripada Malaysia iaitu RM4,132 juta. Indonesia pula, dua kali ganda, iaitu RM1,154 juta.
“Saya harus ingatkan kita kena lihat keseluruhannya, iaitu kenyataan bahawa sembilan bulan pertama KDNK negara masih menggalakkan. Nilai pelaburan juga dalam 9 bulan pertama 2024 naik 10.7 peratus ketimbang pada tempoh sama 2023, ini kenaikan yang besar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Perikatan Nasional – Machang) yang ingin tahu punca ramai pelabur asing yang menjual pegangan saham mereka dalam negara bagi tempoh kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pelaburan daripada syarikat-syarikat besar seperti Infineon, Geely, Amazon dan Microsoft masih menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia.
Katanya lagi, walaupun pasaran saham global menunjukkan penurunan, syarikat-syarikat utama di Malaysia terus mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan.
“Ini kesan yang menyeluruh di seluruh dunia, tetapi syarikat-syarikat, baik institusi kewangan dan syarikat-syarikat masih mencatat keuntungan besar.
“Maybank mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 9.7 peratus, CIMB mencatatkan kenaikan sebanyak 12.3 peratus dan Public Bank menunjukkan peningkatan sebanyak 5.8 peratus,” ujarnya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan, gambaran mengenai penurunan kecil dalam pasaran saham global tidak seharusnya disalah tafsir sebagai petunjuk kepada kelemahan ekonomi negara. – TVS