Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkenalkan dasar ‘zero pothole’ yang bertujuan mengelakkan sebarang kerosakan jalan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna Lebuhraya Pan Borneo (LPB). Foto, TVS.

Dewan Rakyat: Dasar ‘zero pothole’ pastikan keselamatan pengguna Pan Borneo

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkenalkan dasar ‘zero pothole’ yang bertujuan mengelakkan kerosakan jalan bagi memastikan keselamatan pengguna Lebuhraya Pan Borneo (LPB).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, KKR telah melantik PBH Asset Management Sdn. Bhd. (PBH Asset) sebagai syarikat penyenggaraan Jalan Persekutuan LPB pada 1 September tahun lepas bagi tempoh tiga tahun yang merangkumi peruntukan keseluruhan sebanyak RM69 juta.

Katanya, PBH Asset perlu melakukan rondaan pemeriksaan rutin Jalan Persekutuan dengan kekerapan dua kali seminggu berdasarkan kontrak.

“Ini adalah untuk memastikan jika terdapat sebarang kerosakan seperti jalan berlubang, (maka) kerja tampalan lubang hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 24 jam selaras dengan dasar ‘zero pothole’ KKR di Jalan Persekutuan seluruh negara.

“Penalti akan dikenakan terhadap syarikat konsesi sekiranya tindakan yang diambil melebihi dari tempoh tindakan yang ditetapkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (Gabungan Parti Sarawak – Lubok Antu) yang ingin tahu perancangan KKR bagi memastikan LPB di Sarawak dapat diselenggarakan dengan cara terbaik memandangkan lebuh raya tersebut tidak bertol dan bergantung kepada kerajaan untuk penyelenggaraan.

Sementara itu Ahmad berkata bagi membaik pulih jalan-jalan dalam status kritikal, kementerian turut menyediakan program penyenggaraan turapan berdasarkan notis kerosakan Notice of Defects (NOD) yang disediakan oleh pihak syarikat penyenggaraan.

Menjawab soalan tambahan Roy Angau mengenai pihak yang akan melakukan pengoperasian dan penyelenggaraan terhadap Kawasan Rehat dan Perkhidmatan (RSA) Jelukong, Ahmad berkata, PBH Asset akan mengendalikan tanggungjawab itu.

“Terdapat kawasan rehat dan rawat yang cukup baik, ada surau, tandas, medan selera dan pasar tamu. Sekarang ini tandas dan surau sudah dibuka.

“Cuma medan selera dan pasar tamu itu, kami masih berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana apabila ada kutipan hasil, kerajaan negeri mahukan hasil daripada kutipan itu kelak dan tempat itu sememangnya diselenggara,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan