KUCHING, 12 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali lagi menekankan komitmen Sarawak dalam menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon global.
Beliau berkata, walaupun kos pengeluaran tinggi, Sarawak mengambil langkah berani dengan melabur dalam industri hidrogen sebagai sumber tenaga bersih.
Langkah ini adalah untuk mewujudkan persekitaran mampan yakni rakyat dapat hidup dengan harmoni dan sejahtera.
“Sejak Perjanjian Paris, orang ramai nampaknya menganggap isu perubahan iklim yang sedang dihadapi dunia sekarang ini sebagai perkara biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Bersempena Lawatan Kerja Atlantic Council Millennium Leadership Program Study Tour Malaysia di sini, malam tadi.
Katanya lagi, pada Januari 2025 suhu dunia adalah 1.75 Celsius lebih tinggi berbanding tahap pra-industri.
“Ini bermakna planet kita semakin panas. Sarawak melihat perkara ini dengan serius,” katanya.
Beliau juga yakin kos penghasilan tenaga baharu seperti hidrogen akan lebih murah yang seterusnya meluaskan penggunaannya, justeru membantu mengurangkan pelepasan karbon.